Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Haji Zulkifli Mamat berkata, jumlah mereka yang bergadai di Ar Rahn sekarang sebanyak 45,000 orang berbanding 27,769 orang sebelumnya.
"Nilai gadaiannya pada 1992 sebanyak RM12.87 juta, pada 2005 (RM70.19 juta) dan sehingga September 2006 sebanyak RM60.8 juta," katanya ketika menjawab soalan Dato' Mustapa Mohamed (BN - Air Lanas) pada persidangan Dun hari ini.
Menjawab soalan tambahan Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS - Pasir Tumbuh) katanya, pajak gadai Islam di bawah PKB dikenali sebagai Ar Rahn dan Ar Rahnu pula diurus Bank Rakyat, Bank Pertanian dan Yapem.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 10 cawangan Ar Rahn di Kelantan dan lesen pajak gadai konvensional dengan sendiri akan berakhir selepas tamat tempoh lesennya.
Ketika menjawab soalan tambahan Adhan Kechik (BN - Bukit Bunga) Zulkifli berkata, Ar Rahn di Pasir Puteh diurus bekas Pengarah Eksekutif PKB, Haji Abdul Aziz Nawi yang diserah secara MBO.
Katanya, langkah itu dibuat adalah antara usaha bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang berjaya dalam bidang profesional yang mereka miliki.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan kursus solat membabitkan kakitangan kerajaan pada masa akan datang.
Menjawab soalan tambahan Ustaz Mohamed Daud (PAS - Demit) katanya, kursus kesedaran solat akan diperluaskan lagi memandangkan sambutan dan kesan yang positif diterima.
"Kalau sebelum ini kita hanya babitkan remaja dan belia sahaja dalam kursus bulan sembahyang yang diadakan setiap bulan Rejab, namun pada masa akan datang kita akan libatkan sama kakitangan kerajaan," katanya.
Menjawab soalan Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS - Chetok) katanya tidak ada permohonan untuk keluar agama Islam di Kelantan sehingga sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah pula berkata, program khemah ibadat diadakan di kalangan pelajar-pelajar sekolah agama bagi melahirkan pelajar yang berakhlak mulia.
Ketika menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS - Tanjung Mas) katanya, kursus kepimpinan kepada guru-guru juga diadakan dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment